Friday, June 28, 2013

Kisah Anakku Part 4


Ahad- 23 Jun 2013

8.00 pagi – Klinik Kesihatan Kuala Krai,Kelantan.

Sepatutnya tarikh untuk check up adalah 24 Jun 2013. Tapi aku datang hari ni memandangkan hari ni dah week 32-week yang sepatutnya aku akan deliver baby. Tepat jam 7.30 pagi aku ditemani Mummy ke klinik untuk check up.Kami berdua antara orang terawal datang ke klinik. Mula-mula check tekanan darah dengan urine,semua ok.Lepas tu check perut.Kali pertama check,nurse kata tak dengar apa-apa bunyi jantung baby.Aku dah mula cuak.Memang senyap je bunyi.Sebelum ni kalau check jantung,aku happy sebab jantung dia sihat.Kalau kat Kangar, nurse akan kata, “Ni jantung baby naaa!”.Seronok dengar bunyi jantung baby guna Dopler tu. Lama jugak nurse cari tempat untuk check jantung,tapi semuanya tak dengar.Akhir sekali tukar Dopler,pun tak dengar.Dah 3 orang nurse check,jawapan tetap sama,tak dengar! Dalam hati aku, 

“Baby tak tunggu mama ke?”
Nurse suruh aku jumpa doktor untuk scan.Masa scan pun,aku tak sedap hati.Akhirnya doktor bagitahu,

“Berita kurang baik sikit,kalau tengok pada struktur jantung ni,memang jantung dah tak berdegup!”

Ya Allah,benda yang aku paling takut tu benar-benar berlaku.Sekelip mata je rasa hilang barang berharga.
Masa tu aku masih cool.Dan aku percaya kalau orang lain,dah berderai airmata. Aku ni mungkin pernah terfikir pasal perkara ni menyebabkan aku masih gagah untuk tak mengalirkan airmata. Doktor call dan tulis surat untuk refer pada labour room.Dia tanya, bila boleh keluarkan baby.Aku tanya balik, 

“Boleh tentukan sendiri ke bila?” 

Doktor kata biasanya atas pilihan ibu tu sendiri. Aku kata nak bincang dulu dengan family.Dia call balik hospital dan maklumkan nama aku.Doktor kat labour room kata,paling lewat Selasa ni kena masuk Labour Room.

Sebenarnya aku masih tak puas hati.Aku nak jugak scan lagi.Kalau boleh Selasa baru aku nak keluarkan baby kalau betul baby dah tak ada.

Balik rumah aku cerita pada abah. Abah masih lagi kuat untuk dengar aku cerita. Tapi bila habis aku bercerita, aku jadi sedih yang teramat. Abah dengan Mummy pun sama sebak tengok aku menangis.Abah suruh aku call suami. Masa tu 11 pagi. Aku call dan suami pun dalam keadaan terkejut dengar aku cerita. Dia kata dia nak balik terus jumpa aku walaupun masa tu dia masih lagi bekerja.Dia kata setelkan petang terus kalau dapat.

Sejam berlalu.Aku tunggu suami.Dia balik dalam keadaan tergesa-gesa. Baju kemeja pun tak tukar lagi.Aku pulak tengah berkemas,in case kalau masuk wad. Airmata tak payah cakap,berjurai-jurai sampai ke dalam beg pakaian.

2.00 petang – Hospital Daerah Kuala Krai

Abah dan suami bawa aku ke hospital.Pergi ke klinik pakar O&G tunjuk surat. Nurse kata,ni boleh terus masuk Labour Room. Huh? Takkan hari ni jugak nak kena bersalin. Aku tak ready lagi..
Masuk ke Labour Room.Terus kena tukar pakaian, buat urine test dan aku kena baring kat salah satu bilik bersalin.Ye,itu memang bilik untuk beranak,aku boleh dengar orang meronta nak beranak dengan bunyi baby lepas tu.Harap-harap bagi aku masa dulu untuk  bersedia sebelum beranak.Doktor perempuan datang dan dia tanya aku bila boleh setelkan. Aku disebabkan panic takut kena beranak waktu tu,aku cakap,

“Saya nak keluar kejap,tanya suami.” 

Dah sepakat,setelkan cepat-cepat.Aku masuk semula dan bagitahu doctor nak setelkan cepat-cepat.
Kerana aku ibu dan aku sayang anak aku,aku nak jugak scan untuk kali terakhir.Biarlah apa pun keputusan,aku nak pastikan kalau betul la anak aku dah tak ada, aku redha.

Doktor memenuhi permintaan aku,dia scan dan tunjuk keadaan baby.Ye.Memang tak ada dah.Aku terima je janji aku dah puas hati tengok sendiri kat monitor scanner tu. Doktor kata,kalau nak buat terus kena masukkan ubat.Tapi ubat tu biasanya waktu pagi dia akan masukkan.So,maksudnya esok la proses tu berlaku.Tu pun bergantung pada ibu jugak. Ada ibu yang lambat rasa sakit dan ada ibu yang sekejap je dah boleh rasa sakit. Esok katanya nak masuk ubat.So,kena masuk wad dulu.

Aku ditempatkan di Wad Merpati 1 di mana wad ni khas untuk ibu yang menunggu masa untuk bersalin. Sepanjang di wad,kiri- kanan katil aku adalah ibu-ibu yang tengah tunggu masa sakit nak bersalin je. Macam-macam ragam aku tengok membuatkan aku takut nak bersalin. Macam sakit je tengok orang yang disorong ke Labour room tu. Sampai ke malam,aku dah tak tahu nak buat apa. Tengah memikirkan apa nak jadi hari esok. Entah sempat ke aku jumpa hari lusa atau aku terlebih dahulu dijemput Illahi sewaktu bersalin nanti? Wallahualam.

Isnin-24 Jun 2013.

8.00pagi-Wad Merpati 1

Aku tunggu.Mana janji semalam kata aku nak kena masuk ubat hari ni? Aku tanya nurse dan akhirnya doctor datang.Dia kata hari ni ada 7 orang yang nak kena masuk ubat. Takut tak sempat nak handle sebab bilik bersalin ada 5 je.Kalau 7-7 tu sakit serentak,doktor tak sempat nak sambut baby nanti sebab space limited. Esok pulak katanya. Ok. Nampak gayanya aku ada lagi sehari untuk prepare segalanya sebelum bersalin.Seharian aku duk tengok situasi orang nak bersalin. Ada yang sakit dalam wad, ada yang muka happy tak sakit apa-apa dan ada yang macam aku tak ada perasaan. Sempat bersembang dengan katil sebelah bertanya pasal aku. Aku cerita jela,anak dah meninggal dalam perut,tunggu nak keluarkan je. Semua buat muka terkejut. Agaknya sebab tengok aku rileks je bercerita tak ada sedih pun.Hari ni aku cuma fikir balik.Bila agaknya baby ni betul-betul tak ada.

Anak Mama,

Mama tak tahu bila anak mama pergi mengadap Illahi. Tapi sekurang-kurangnya mama happy sebab anak mama dah spend masa yang cukup lama dengan mama,hampir 8 bulan sayang…
Dah tertulis anak mama pergi dulu sebelum mama.Mama redha.Setakat ni,inilah ujian paling hebat pernah mama lalui. Hilang benda lain boleh dicari ganti. Hilang anak dan hilang ibubapa,kita tak kan jumpa dah insan yang sama.Kalau ada pun pengganti,fizikal dan segalanya tetap jua berubah.
Last mama scan anak mama ni di HTF Kangar pada 14 Jun 2013 dan semalam 23 Jun 2013 anak mama dah tak ada,mama rasa dalam tempoh 9 hari daripada 14-23hb,tarikh yang mana satu anak mama ni tinggalkan mama. Adakah waktu mama kalut dengan urusan Master sebelum balik Kelantan,atau anak mama pergi masa abah dah datang Perlis jemput kita balik Kelantan? Kalau la waktu anak mama tinggalkan mama waktu abah ada sekali,mama syukur sangat-sangat kalau macam tu,meninggalkan dunia dan alam rahim di samping abah dan mama. Tapi kalau sebaliknya pun,tak apalah anak mama hanya dengan mama je hadapi semua situasi.
Anak mama, mama dah redha segalanya.
Terima Kasih kerana bagi mama peluang untuk rasa betapa indahnya mengandungkan anak mama ni.Sebab mama rasa anak mama baik sangat,tak banyak ragam. Mama tak rasa susah pun nak buat kerja waktu mama mengandung ni. Alahan pun tak sama macam orang lain. Untung mama dapat anak macam ni. Sejuk perut mama mengandung. Alhamdulillah.

Thursday, June 20, 2013

Cinonet Dalam Perut Dah Besar!

Subhanallah.

Cepat sungguh masa berlalu. Hari ni kalau dikira, dah 32 minggu cinonet dalam perut ni. Dah 8 bulan dah awak ye,baby! Sebenarnya kalau ikutkan bulan 7 baru dia betul-betul 8 bulan,biasa la kalau kira minggu,minggu 32 tu permulaan untuk 8 bulan.Dah la besar pulak tu budak ni. Macammana agaknya mama nak bersalin nanti. Awak dah 2kg+ dah tau sekarang.

Esok akan bermula cuti panjang di rumah. Maksudnya balik kampung la tu. Entah la,kadang-kadang fikir seronok,tapi bila fikir saat-saat nak bersalin nanti, Ya Allah, betapa cuaknya Tuhan saja yang tahu. Barang-barang baby dah 70% complete. Cuma yang tak complete nya stroller,car seat, katil baby. Yang tu kemudian la kot. Kewangan nak kena jaga. Nanti kang, baju baby untuk setahun tak terbeli pulak nanti. 

Ada terbaca artikel, kalau dah 8 bulan, tak digalakkan lagi drive kereta. Dulu masa 7 bulan,rileks je drive. Sekarang baru aku tau, betapa susahnya nak pay attention bila drive bila dah masuk trimester ketiga ni.


  1. Pusing stereng yang ringan pun dah mengah
  2. Keluar dari petak parking punya la lama.
  3. Sakit belakang hanya Tuhan saja yang tahu. Duduk dalam kereta waktu pregnant memang tak best.
  4. Perut goyang-goyang dalam kereta,rasa kelakar je. Sian baby.Tak lena tidur.hehe
  5. Kalau tiba-tiba jumpa bonggol,lubang,lopak air,bukan main seksa kalau tak brek betul-betul.Pedih!
  6. Nak bukak,tutup pintu kereta pun jadi masalah besar.
  7. Seat belt? Tak pakai kang bahaya. Bila pakai,rasa macam terpaksa je pakai walaupun dah laras betul-betul
  8. Kereta kotor? Tak de hal,biar je.Dah malas nak pergi cuci kat kedai. 
  9. Dah tak kisah bawak kereta slow-slow. Dulu kalau bawak slow, rasa lembab sangat. 
  10. Nak masuk,keluar dari kereta..ada la makan masa beberapa saat.Kesian kan?

Haa,tu baru sikit. 

Berat mata memandang,berat lagi bahu yang memikul. Apa-apa pun, biar lah sakit macammana pun, tetap jua terpelihara anugerah ini dengan sebaiknya. InsyaAllah.

Baby,

Jangan la duk buat pasal dalam perut tu. Asyik rasa sakit je kat tulang rusuk 2-2 belah ni. Tendang tulang mama ye? huhu



Wednesday, June 12, 2013

Kisah Anakku Part 3

Buat masa ni,aku confius.Orang kata kalau berdepan dengan benda-benda macam ni,kena kuatkan hati dan jangan stress.Tapi sekarang on/off mood ni,sekejap rasa sedih.Sekejap rasa biasa. Allah,betapa hamba-Mu ini sangat perlukan kekuatan.

Orang yang tak mengalami tak mungkin rasa seperti apa yang aku rasa.Mereka paling kurang pun,tersentuh hati dan rasa simpati.Tapi berat mata memandang,berat lagi bahu yang memikul ni.Tadi pergi follow-up ke Hospital selepas rujuk Alor Setar tempoh hari.

11 Jun 2013,2.30 petang.

Aku sampai agak awal,lepas Jumaat dan kebanyakkan staf hospital masih lagi sedang rehat.Ada seorang doktor muda,Chinese berumur lebih 3 tahun dari aku. Dia check buku merah ibu mengandung. Tapi kata-kata dia buat aku tersinggung.Sebelum ni tak pernah ada doktor yang layan aku macam tu. Maksud aku,menyinggung perasaan aku. Tapi takpe lah,aku pun sedar apa yang sedang aku alami sekarang.

Dia cakap;

"Puan tahu kan anak Puan akan mati even lepas deliver pun?"

Aku cakap la lepas ni aku nak transfer hospital kat kampung untuk treatment.Dia cakap;

"Ohh.. I don't think about treatment.Your baby is critical.Bila-bila masa boleh mati dalam perut!"

Ya Allah.Kenapa bahasa macam tu? Aku seorang ibu yang stress sekarang ni,boleh tak cakap elok-elok dan berhemah?

Aku cuma angguk tanda macam faham. Tapi dalam hati terasa jugak dengan kata-kata tu.Emm,takpe lah,dia doktor baru kot.Baru nak belajar. Lagi pun selepas tu dia scan perut aku dan dia macam tak berapa nak confirm sangat apa yang dia tengok kat monitor.

Kemudian,seorang lagi doktor datang.Doktor yang ni memang aku suka.Sebab sebelum ni pernah scan dengan dia.Sesi kaunseling dia membuatkan aku semakin kuat dan tabah. Dia pujuk supaya aku berdoa banyak-banyak pada Tuhan.Kalau apa-apa yang berlaku,at least kita masih kuat untuk hadapi semua tu. Condition baby agak teruk seperti yang diberitahu oleh doktor di Alor Setar hari tu. 

Tapi takpe,doktor ni explain aku boleh terima dengan hati terbuka sebab aku sendiri rasa tenang je waktu dia nasihat dan explain tentang baby. Dia terangkan satu-satu dan banyak juga aku bertanya pada dia. Alhamdulillah.Dia menjawap soalan aku dengan baik dan aku sangat puas hati. Katanya pagi tadi pun ada seorang ibu yang alami nasib macam aku. Doktor macam hairan kenapa boleh ada 2 kes yang sama.

Kuasa Tuhan.Tiada siapa yang tahu.

Tekad.Aku akan balik ke Kelantan untuk deliver baby.Normal atau C-Sec bukan jadi persoalan.Yang penting anakku dalam perut ni.Mengharap untuk sesuatu perubahan walaupun tak banyak.

Tidur malam pun dah tak macam tidur.Menangis sepanjang baring. Aku tak lagi tidur di katil sebab  sakit di 2-2 belah tulang rusuk.Aku pujuk hati,demi anak ini,biarlah aku tanggung semua ni.Seksanya hanya Tuhan saja yang tahu.

Aku tak pasti sekarang. Dua condition : Lahir hidup atau Lahir Mati. Lepas tu akan ada condition seterusnya : Lahir sakit atau Lahir sihat selepas rawatan.

Doa demi doa aku panjatkan pada Allah SWT.Ada rezeki..ada lah..kalau tak ada..redha saja. Anggap saja sebagai kafarah dosa yang lalu.

Anak Mama,

Jika suatu hari,sebelum sempat anak melihat dunia,anak mama sudah tiada, doakan mama di hari muka. Mama bertuah kerana memiliki anak penghuni syurga. Biarpun belum menjamin anak mama akan membantu mama masuk ke pintu-pintu syurga,tapi biarlah anak mama yang masuk.Dosa mama masih banyak yang belum dihisab.Tapi dirimu anak,terlalu suci,tak ada dosa dan tak salah silapnya,mama redha Tuhan hantar anak mama ke syurga.Mama gembira dan bersyukur.Moga anak mama tenang di sana. Jika dirimu anak,ditakdirkan hanya beberapa hari saja bernafas di muka bumi ini (walau ini bukan mama pinta), maka bergembiralah wahai anak di mana-mana pintu syurga Allah swt.
Mengandungkan anak mama untuk suatu tempoh yang agak lama,cukup membuatkan mama bahagia.Biarlah berperang dengan sakit,muntah,tidur yang tak menentu,nafas yang tak pernah cukup,tapi mama rasa bahagia Allah kurniakan anak buat mama dan abah.
Anak mama tahu tak, Abah seorang yang sangat suka budak-budak. Mula-mula dia dapat tahu mama mengandung, dialah orang yang paling gembira.Masa tu mama masih lagi blur,tak percaya yang dalam perut mama ni ada bakal khalifah, hasil benih mama dan abah. Abah pernah kata, lepas ni dia tak sabar nak main-main dengan anak sendiri sebab sebelum ni dia cuma bermain dengan anak-anak buah saja. Memang ini harapan abah,mempunyai anak seperti kawan-kawan yang lain.Abah selalu cakap,dia dah tua tapi anak kecik lagi,kalau jadi apa-apa kat dia waktu tua,kesian pulak kat mama nak kena jaga sorang-sorang.Sedih mama! 
Sepanjang mama mengandung,abah tak ada di sisi mama.Anak mama cuma kenal suara mama saja agaknya.Dan betapa abah menanti mama pulang bercuti,untuk dia bersembang dengan anak mama dalam perut ni.Betapa kasihnya dia pada dirimu anak....
Anak Mama,untuk kali ke berapa pun mama tak pasti,setiap kali mama tulis entri ni,mama pasti mengalirkan airmata, punya tinggi harapan mama untuk lihat anak mama survive. Mama tak boleh stress sangat,nanti anak mama pun terikut sama. Apa yang mampu mama buat,mama cuba fikir positif, InsyaAllah..anak mama ini kuat dan tabah. 
Di sebalik gelak ketawa aku di rumah,di sebalik senda gurau aku bersama suami,tak siapa yang tahu bahawa aku runsing,aku bingung dan aku cukup tertekan untuk mengharungi semua ni.Apalagi bila berjauhan dengan keluarga dan suami sendiri.

Masih memikirkan tentang pengajian Master yang tertangguh,kewangan yang hanya cukup-cukup saja dan pergerakan aku yang terbatas akibat mengandung ni,semua pun ada dalam kepala ni.

Adik-beradik tak tahu apa yang aku alami ni,sebab aku tak cerita. Housemate pun sama. Aku hanya mampu gelak dan bergembira bersama mereka.Tak nak mereka susah hati atau simpati pada aku.Aku tak suka situasi yang akan buatkan airmata aku bertaburan.Jadi,ada baiknya aku sembunyikan perkara ini.Housemate,maafkan aku sebab terpaksa sembunyikan perkara ni. Bukan aku tak tahu, daripada mula-mula aku pregnant,korang lah yang paling tak sabar nak tengok ada baby dalam rumah ni,korang lah yang paling tak sabar nak jaga,nak main-main dengan baby,sebab aku tahu,korang semua baik-baik dan mempunyai naluri seorang kakak dan bakal ibu yang terbaik.Maafkan aku kawan...

Walaupun korang tak tahu apa yang aku rasa saat ini, tapi aku harapkan,kepada beberapa orang yang tak sengaja mendapat tahu akan hal ini supaya terus mendoakan aku dan baby setiap masa. Aku sebenarnya merasakan aku 'berhutang doa' dengan kawan-kawan yang mendoakan. Moga-moga di suatu saat, aku bakal mendoakan korang semua nanti untuk semua keadaan dan situasi yang kita tak pernah jangka,seperti kisah anakku ini.

Ya Allah,jika diberi peluang,aku mahu merasa kembali saat-saat kali pertama aku disahkan mengandung,kerana saat itu cukup indah dan mengembirakan.Semoga akan ada lagi rezeki buat aku dan suami.InsyaAllah.


Tuesday, June 11, 2013

Kisah Anakku Part 2

11 Jun 2013,8 pagi

Seperti temujanji yang lalu,aku ke Hospital Alor Setar ( Hospital Sultanah Bahiyah ) untuk dapatkan maklumat lanjut tentang masalah paru-paru anakku.

Aku gagahkan diri drive sorang-sorang,demi nyawa seorang anak yang dikandung.Suami dah bising sebelum ni,suruh aku pergi berteman. Tapi tak siapa faham apa yang aku rasa sebelum aku ke Alor Setar. Aku bukan tak nak orang ikut atau teman aku ke situ, tapi hati ni kata tak perlu ada yang ikut sebab orang akan bersimpati dengan aku dan secara tak langsung, berita tentang anakku akan tersebar,menyebabkan aku lagi bertambah stress!

Dalam hati aku nak je kata,"Kalau la abang ada teman saya datang sini,kan best?"

Tapi nak buat macam mana,suami jauh kerja.Demi sesuap nasi aku juga.Aku kena sabar.

Aku dah elok rasa tenang sebelum ke sana dan aku taknak mood aku berubah.Aku redha untuk dengar apa komen dan keputusan doktor lepas ni.Muktamad.Aku kena kuat.Demi anak yang bernyawa dalam perut ni.

Mencari parking kereta hampir 1/2 jam tak jumpa.Biasalah,hospital mana yang tak sibuk.Siap parking dah dekat pukul 10pagi.Aku sampai awal,jam 9 lebih.Parking punya pasal,aku pusing la banyak-banyak kali sebab aku tak larat nak parking jauh-jauh takut tak larat nak jalan lepas ni.Aku tak biasa dengan hospital tu.Nak cari Pakar O&G pun ambil masa.

Timing agak perfect.Jam 10 pagi aku jumpa klinik O&G, di mana tempat itu yang aku bakal tau status baby lepas ni. Orang ramai sangat kat situ dan aku ambil masa sejam lebih sebelum turn aku tiba untuk jumpa doktor.Doktor Bhava, seorang doktor India yang bergred U54, bertanya tentang  masalah anakku. Aku cuma kata Pleural Effussion, ada lebihan cecair pada organ tu. Dia terus proceed untuk scan.

Scanner kat situ cukup detail.Satu untuk doktor dan satu untuk ibu tengok kat depan. Aku boleh nampak jelas apa yang ditunjuk. Ya,masih lagi ada cecair dalam paru-paru anak. Dia sendiri pun tak boleh nak confirmkan sebab baby masih dalam perut.

Ya Allah, satu lagi ujian yang aku harus terima bila doktor kata ada jugak cecair dalam jantung dan perut.Tapi kuantiti tak sebanyak macam dalam paru-paru.

Aku cuba berlagak macam tak ada apa yang berlaku.Tapi hanya Tuhan saja yang tahu, betapa sedihnya aku saat ni dan betapa pilu nya hati seorang ibu bila dapat tau anak sakit. Kita hanya nampak melalui skrin,tapi kita tak tahu apa kesusahan dia dalam perut.Entah macam mana la dia bernafas.Itu yang aku runsingkan.

Selesai scan, ada sesi kaunseling. Doktor tu bagus.Dia tak bagi aku harapan yang tinggi. Dia nak aku redha dan bersedia untuk sebarang kemungkinan yang berlaku. Dia kata condition baby memang betul-betul kritikal. Aku diam je sebab aku dah tak ada airmata nak mengalir sebab sejak aku dapat berita ni,awal-awal aku dah menangis teruk mengenangkan nasib si anak. Aku dah tak mampu nak menangis lagi. Anak aku pun tak suka aku stress, mungkin jugak kesan dari stress aku yang menyebabkan condition dia makin teruk.

Wallahualam.

Dari segi flow darah,memang sangkut-sangkut, sebab tu doktor kata kritikal. Dia kata kemungkinan besar akan meninggal dalam perut..

Tapi tu semua kuasa Tuhan.Kita tak tahu dan tak siapa boleh ramal masa depan. Anak aku perlu doa dari ibu bapa dia.InsyaAllah,mama doakan yang terbaik untukmu anak.

Doktor tulis dalam buku merah,

Consider delivery if baby survive on week 32-34.

Sekarang dah nak masuk week 31. Ya Allah,apa yang jadi lepas ni aku tetap redha. Aku masih belum sedia untuk melahirkan. Sebab aku tak pernah terlintas untuk bersalin awal. Kesian baby nanti. Yang pasti kalau dia selamat lahir, aku takkan jumpa dia selama dia ditahan dalam incubator atau ICU. Tak cukup bulan satu hal, masalah pernafasan satu hal. Paru-paru pun tak matang lagi. Kesian dia.

Anak Mama....

Orang kata, kalau anak ada masalah, tu mesti sebab salah silap mak ayah dia waktu dulu. Tapi kalau tak ada sekali pun, kalau dah tertulis itu ujian Tuhan, tak siapa boleh salahkan. Mama minta maaf kalau satu ketika dulu mama pernah menyakiti hati sesiapa, atau apa saja tabiat buruk yang menyebabkan Tuhan murka, Tuhan marah dan Tuhan benci pada mama dan dibalas pada anak mama. Mama minta maaf sangat. Mama juga insan biasa yang tak pernah sempurna.Mama juga tak terlepas dari salah silap dan mungkin mama tak fikir pun masa depan mama waktu tu.

Sekarang mama redha, kalau Tuhan takdirkan rezeki untuk mama, maka dapat la mama dukung anak mama macam ibu-ibu lain buat. Tapi kalau tuhan tarik rezeki tu atas sebab-sebab tertentu, mungkin itu satu pengajaran untuk mama supaya tak leka lagi dan banyakkan amal pada Tuhan. Kadang-kadang ujian Tuhan tu indah sangat. Tuhan masih sayang kita wahai anak. Hari ni kita diuji, mungkin lain kali kita dapat manfaat. Kadang-kadang mama rasa tak adil, kenapa mama yang diuji cabaran sehebat ni sedangkan orang lain tak pun! 

Anak mama,

Bagi mama, mengandungkan anak mama adalah suatu anugerah yang berharga. Andai mama boleh merayu sungguh-sungguh, mama nak mintak pada Tuhan, biarlah mama sempat susukan anak mama,pangku anak mama waktu lahir nanti. Lepas tu kalau takdir mengatakan tu kali terakhir anak mama bersama dengan mama, mama redha.Mama bukan minta sesuatu yang buruk berlaku, tapi apa yang mama tulis ni semata-mata untuk pujuk hati mama supaya kuat semangat. 

Sekarang dah 7 bulan,lagi seminggu lebih akan masuk 8 bulan. Anak ini juga punya hak atas muka bumi ni. Anak inilah hasil perkongsian hidup aku dan suami. Aku tak pernah bercinta dengan suami. Dan ini adalah hadiah Tuhan yang tak ternilai dan mengingatkan detik-detik sewaktu aku terjumpa dengan suami di universiti yang sama.Dua-dua mencari ilmu dan akhirnya dua-dua ada hala tuju sendiri yang akhirnya dipertemukan di satu pertemuan yang tak disangka-sangka. Terima Tuhan atas pertemuan itu dan termeterainya ikatan perkahwinan hingga membuahkan benih yang istimewa ini.

Alhamdulillah.

Apa-apa jadi pun, Tuhan tu ada dan masih ada harapan untuk orang yang berusaha dan sentiasa sabar. InsyaAllah.








Lilypie Angel and Memorial tickers