Saturday, July 16, 2011

Mati terjatuh selepas minum arak

KUALA LUMPUR - Keseronokan seorang remaja yang didakwa meminum arak bersama rakan-rakannya di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Jalan Ipoh di sini berakhir tragedi apabila dia mati akibat terjatuh dari tingkat empat premis itu kelmarin. Kejadian pukul 9 malam itu mengakibatkan Gopinath Krisnamurty, 18, mati di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan seluruh badan.
Seorang saksi yang tinggal di tingkat tiga flat tersebut memberitahu, sebelum kejadian, dia ternampak mangsa dan beberapa rakannya sedang meminum arak di tingkat bawah. Katanya, mangsa tinggal bersama keluarganya di blok lain dan datang ke situ untuk berbual sambil minum arak bersama rakan-rakannya.


"Mangsa kemudian naik ke tingkat empat untuk pergi ke rumah salah seorang rakannya. Bagaimanapun, tidak lama kemudian saya terdengar suara seperti orang bertengkar dan disusuli dengan bunyi benda terhempas.
"Apabila saya keluar, saya dapati mangsa telah terjatuh tertiarap dalam keadaan berlumuran darah manakala rakan-rakannya telah turun melihat mangsa sebelum melarikan diri," ceritanya kepada Kosmo! semalam.


Tinjauan Kosmo! mendapati terdapat beberapa botol arak dan minuman berkarbonat di tepi tiang tingkat bawah flat berkenaan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi berkata, siasatan mendapati mangsa mati selepas terjatuh dari tingkat empat flat tersebut. Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sumber : KOSMO


p/s : Kalaudah tertulis ajal...apakan daya..maut menjemput tak kira masa..Tu la dia,buat baik berpada-pada,buat jahat sangat sesekali..

0 comments: